Thursday 20 August 2015

RESEPI: KARI IKAN ALA MAMAK (TANPA SANTAN)

Hey,

Dah hampir 2 minggu, masa lunch hour je aku balik rumah memasak, untuk dimakan selepas balik kerja. Senang, balik kerja, panaskan lauk, dah boleh terus makan. Actually aku bukan rajin sangat, tapi memandangkan akak kat bawah dah tak jual, aku ambil keputusan untuk balik dan masak sendiri.

Lepas cuti raya haritu akak tu dah tak bukak gerai lori dia tu. Alasan dia nak berehat, sebab dah tua, tak larat nak bekerja lagi. Kesian akak tu, dulu siap pasang payung besar dan buka meja taw, kitorang hari hari memang takde tempat lain dah selain makan gerai lori akak tu. Akak tu memang tak ambik untung banyak, plus kitorang yang berkereta ni boleh save kos minyak. Ihiks!

Pernah jugak aku try restoran restoran kat area rumah aku. 2, 3 kali je aku pergi sebab tersangat-lah mencekik darah! Bayangkan nasi separuh + ayam + sayur di-charge-nya RM10. Hakak tak mampu wehh kalau sehari RM10, kalau sebulan bekerja, tak ke kos lunch sahaja mencecah RM 200? Itu baru makan tengahari. Haih!

Panjang pulak opening entry aku kali ni, so hari ni aku nak share resepi bajet untuk orang bujang. Kari Ikan Ala Mamak. Nama Ala Mamak ni kes-nya sebab Kari Ikan ni tak letak santan.

RESEPI KARI IKAN ALA MAMAK

2 ekor ikan 
1 labu bawang besar
2 tangkai daun kari
2 sudu besar serbuk kari ikan Babas
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh halba
1 cawan air asam jawa
air secukupnya
garam secukup rasa

Bahan Kisar
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inc halia
1 inc kunyit hidup
5 tangkai cili kering

Panaskan minyak dalam periuk atau kuali

Tumiskan jintan manis dahulu hingga harum

Kemudian masukkan halba dan tumis lagi. Kita kena tumis dahulu jintan manis baru tumis halba kerana halba cepat hangus. Masa tumis senantiasa kacau dan perhatikan supaya ia tidak hangus menjadikan kari kita pahit.

Kemudian masukkan bawang hiris dan daun kari

Tumis hingga harum dan bawang garing

Bila dah garing masukkan bahan kisar

Masak lagi hingga garing dan terbit minyak

Kemudian masukkan cili kisar, kalau tak nak guna cili kisar boleh guna cili serbuk. Cili ni terpulang pada kita nak pedas atau tidak, kalau suka kari yang pedas boleh lebihkan cili

Masak hingga cili benar-benar garing

Kemudian masukkan rempah kari ikan

Masak lagi hingga garing, jika terlalu kering tambahkan sedikit air

Bahan-bahan ni kena masak hingga betul-betul garing supaya bila kita makan tak ada lagi rasa rempah atau hapak cili

Bila semua dah betul-betul garing baru masukkan air asam jawa

Kari ikan kena rasa masam sikit , jadi air asam ni bubuh lebih sikit

Kemudian tambahkan air.

Biarkan ia merenih sebentar.

Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Biarkan kuah ni mendidih baru kita masukkan ikan. Kalau nak tukar pada udang atau ketam pun boleh.

Bila ikan dah empuk barulah kita masukkan bendi jika suka.

Nah, belanja gambar sikit ;)




No comments:

Post a Comment